LOKASI KEJADIAN KES PELAJAR DIROGOL 38 LELAKI
Seorang wartawan Kosmo memuat naik gambar rumah kosong yang dikatakan tempat berlakunya kejadian kes gadis 14 tahun diperkosa oleh 38 lelaki di Kelantan pada 20 mei lalu.
Mangsa juga turut ditemani oleh dua orang rakannya yang merupakan saksi kepada kejadian itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
KOTA BHARU – Penduduk di sekitar kampung Hutan Pasir, semalam, tidak mengetahui kejadian dua remaja perempuan dirogol 38 lelaki di sebuah rumah kosong, di sini, dalam kejadian 20 Mei lalu.
Seorang penduduk, Rogayah Abdullah, 57, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu apabila tertangkapnya beberapa suspek yang tinggal berhampiran kediamannya.
“Makcik kerja di kedai makan dan sekitar jam 4 petang, makcik akan bersiap-siap ke kedai untuk berniaga.
“Balik ke rumah hampir jam 10 atau 11 malam, jadi memang makcik tak tahu langsung mengenai kejadian yang berlaku hanya beberapa meter dari rumah makcik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Rogayah berkata, rumah kosong yang menjadi tempat dua remaja itu dirogol sememangnya sebelum ini dijadikan lokasi budak kampung melepak dan menghabiskan masa membaiki motosikal.
“Pernah saya suarakan kepada tuan rumah terbabit yang telah pindah ke kawasan lain supaya merobohkan rumah kayu peninggalannya itu, memandangkan rumah tersebut tidak berpenghuni dan sudah lama ditinggalkan kosong, namun pemiliknya endah tak endah.
“Jadi, rumah terbabit dijadikan tempat remaja di sekitar kawasan ini membawa rakan mereka melepak dan sebelum ini polis pernah menyerbu rumah tersebut berhubung kes penagihan pil kuda,” katanya.
Sementara itu, Mat Hussin Mat Nor berkata, kegiatan remaja berkenaan di kawasan itu sebelum ini hanya tertumpu kepada membaiki motosikal dan melepak.
“Terkejut juga apabila ramai polis datang dan menangkap suspek tinggal tidak jauh dari kediaman saya.
“Lagipun semasa kejadian kami tidak menyedari apa-apa kegiatan mencurigakan memandangkan ia berlaku pada waktu Maghrib dan tidak mendengar bunyi bising,” katanya.
Dalam kejadian 20 Mei lalu, dua remaja termasuk seorang pelajar tingkatan dua mendakwa dirogol bergilir-gilir oleh 38 lelaki dalam sebuah rumah kosong di Ketereh, di sini.
Mangsa yang berasal dari Kampung Guchil, Kuala Krai, pada mulanya mengikut seorang rakan lelakinya ke sebuah rumah kosong untuk menemui seorang rakan perempuan.
Dalam pertemuan itu, mangsa dihampiri seorang lelaki berusia 40 tahun yang dikatakan mempunyai hubungan dengan salah seorang lelaki yang tidak dikenali mangsa.
Mangsa gagal melarikan diri selepas dikepung dan dihampiri lebih 30 lelaki yang berada di atas rumah terbabit dan dirogol beramai-ramai.
Sumber:Nescafeais.com