JANGAN MALAS BERUS LIDAH!

Realitinya, individu yang mengidap penyakit mulut berbau tidak sedar dan sukar mengesan yang dirinya berhadapan dengan masalah itu lantaran terbiasa dengan bau yang dihidunya sehari-hari.

Memang kelakar tapi itu sebenarnya yang berlaku. Mereka langsung tidak tahu dan yakin dengan keadaan itu jika tiada siapa menegur. Masalahnya, sanggupkah kita nak menegurnya kerana sudah menjadi adat dan budaya kita, mahu jaga hati orang dan tidak mahu sesiapa berkecil hati.

Cara paling efektif bagi anda atau sesiapa bagi memastikan kita tidak berdepan masalah ini adalah dengan bertanyakan kepada pasangan, sanak saudara atau kawan rapat sama ada bau mulut anda normal atau sebaliknya.

Tapi jangan sekali-sekali berkecil hati dengan maklum balas yang diterima jika anda seorang daripada mangsa berdepan penyakit ini kerana setidak-tidaknya kita tahu cara untuk menghilangkannya dan tidak terus yakin bercakap dengan orang.

 
Selain itu juga, terdapat sejenis alat yang digunakan doktor gigi untuk mengukur kandungan sulfur dalam nafas pesakit. Selepas diperiksa, rupa-rupanya anda disahkan doktor menghidap masalah mulut berbau. Usah cepat terasa hati sebaliknya cari jalan yang boleh digunakan untuk menghilangkan bau itu.

Cara lain yang boleh menghilangkan masalah ini adalah dengan memberus gigi setiap hari dan kalau betul anda seorang individu yang berpenyakit ini, apa kata berus kita sekerap mungkin untuk keselesaan sendiri.

Amalan memberus gigi perlu dilakukan dengan betul. Tidak cukup dengan berus, anda dinasihatkan supaya menggunakan benang flos untuk menyingkirkan bakteria dan lebihan makanan yang berkumpul di celah gigi.

Dengan mempraktikkan cara berkenaan, bakteria sukar menghasilkan sulfur seterusnya mengelakkan mulut berbau.

Mungkin ada yang memandang remeh soal pembersihan lidah ketika menggosok gigi. Ingat, seperti yang dikatakan sebelum ini yang bakteria mudah menyorok di rekahan serta belakang lidah.

Pada masa sama, anda boleh menggunakan pembersih lidah yang banyak dijual di farmasi. Gunakan berus gigi yang mempunyai pembersih lidah di bahagian belakang pemberusnya atau pilihan berus gigi yang lembut dan gosok perlahan-lahan sehingga lidah kelihatan bersih.

Kalau anda ingin memastikan masalah ini tidak langsung terkena pada diri anda, apa kata gosok gigi setiap kali selepas makan kerana setidak-tidaknya bau makanan tadi tidak terus melekat dalam mulut dan seterusnya menghasilkan bau kurang selesa.

Sekiranya anda gagal memberus gigi selepas makan, kunyah gula-gula getah yang bebas kandungan gula. Cara ini dikatakan mampu menyingkirkan sisa makanan yang terperangkap di ‘kawasan’ yang ‘dalam’ seterusnya merangsang pengeluaran air liur.

Kemudian, perbanyak mengambil air suam. Air adalah elemen paling utama dalam mengekalkan tahap kesihatan seseorang. Sebab itu, dua liter air sehari adalah sukatan yang cukup sesuai.

Bagi memudahkan kerja, isi air di dalam botol bagi memudahkan proses menyukat. Secara tidak langsung, teknik ini membuatkan mulut anda sentiasa basah dengan air, malah pada masa sama berfungsi merangsang pengeluaran air liur dan menyekat kehadiran bakteria.

Cuba langkah mudah ini bagi memastikan masalah mulut berbau tidak ada dengan kita kerana masalah ini tidak patut terjadi terutama kepada anak muda seperti kita.