IMPAK NEGATIF PADA DIRI

Memang benar remaja cepat terpengaruh kerana tidak berfikir panjang. HAZRIL MDNOR meneliti setiap perlakuan buruk remaja yang membawa banyak kesan negatif dan jika dibiarkan secara berterusan akan memudaratkan.

Related Post: PENGAKUAN SEORANG ISTERI YANG CURANG

Dewasa ini, ramai anak muda yang mengalami krisis identiti. Mereka yang mempunyai sindrom ini biasanya tidak boleh berfikir secara matang atau membuat keputusan secara rasional. Mereka lebih suka berkhayal dan membuang masa dengan melakukan perkara tidak berfaedah.

Mengimbas kembali pada zaman 90-an, remaja tidak banyak terdedah kepada budaya luar disebabkan alat komunikasi pada masa itu tidak secanggih seperti sekarang. Mereka kekal dengan identiti sebagai masyarakat Malaysia yang berbudi pekerti dan bersopan santun ketika bertutur.

Related Post: CHONG WEI HANYA AMBIL MASA 24 MINIT SAHAJA

Lain pula jika dilihat pada zaman moden ini, ramai anak muda mudah terpengaruh dengan sesuatu yang dianggap menarik di mata. Mereka sebenarnya tidak kisah menonjolkan minat dalam sesuatu yang negatif asalkan ia tampak menarik dan seronok. Seperti kita lihat, remaja suka melakukan aktiviti yang jelas sekali bertentangan dengan norma masyarakat.

Hasil daripada globalisasi dan dunia tanpa sempadan, anak muda tidak ragu-ragu membuat pilihan dan inilah yang menimbulkan krisis identiti. Mereka gemar melakukan sesuatu dianggap kelainan. Misalnya, remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan tidak membuat keputusan yang tepat dalam sesuatu pilihan. Banyak pilihan dibuat atas dasar nafsu dan kemahuan semata-mata.

Apa yang kita dapat lihat ialah remaja masa kini sudah hilang budaya tempatan dan tidak lagi mengekalkan nilai murni. Kesopanan dan kesantunan Islam yang sudah lama dipupuk dalam diri mula beransur hilang. Ini kerana mereka sangat mudah terdedah untuk dipengaruhi dan jiwa muda yang gemar mencuba perkara baru. Selain itu, mereka juga mudah terpedaya dengan apa yang diceritakan di laman sosial.

Hakikatnya, rakan dan keluargalah yang dipersalahkan kerana tidak mengambil berat serta mengambil tahu. Ia sebenarnya bukan berpunca daripada mereka saja tapi remaja juga bersalah kerana tidak mempunyai kesedaran untuk berubah. Jika dilihat, ramai yang merokok, merempit, menghisap dadah, biadap dengan orang tua, memakai pakaian yang menyerupai jantina berlainan dan sebagainya. Ia dianggap sebagai sesuatu yang normal dan tidak ada unsur negatif di mata mereka walhal perkara itu dianggap tidak elok di mata ramai orang.

Impak negatif pada diri

Apabila anak muda tidak lagi malu melakukan perkara yang tidak disenangi masyarakat, pasti ia terbukti memberikan masalah kepada diri sendiri. Lihat saja pada masalah yang berlaku antara remaja dengan keluarga dan rakan-rakan. Hubungan bukan saja renggang tapi juga wujud situasi di mana mereka tidak bertegur sapa buat jangka waktu yang agak lama. Ini semua berpunca kerana remaja tidak mengikut nasihat ibu bapa dan banyak terpengaruh dengan rakan sebaya.

Bukan itu saja, mereka juga akan selalu dipandang serong oleh masyarakat disebabkan tingkah laku mereka yang seakan-akan meniru budaya barat. Ada sesetengah boleh diterima dan ada juga yang sangat dikecam masyarakat kerana bertentangan dengan agama.

Justeru, ramai anak muda mengalami masalah kemurungan kerana banyak masalah yang dihadapi daripada krisis identiti itu. Mana tidaknya, mereka yang tegar pasti mempunyai masalah kesihatan yang memudaratkan serta mendapat kecaman daripada keluarga dan masyarakat. Kemurungan itu sendiri kalau dibiarkan secara berterusan akan membawa kepada masalah lebih serius seperti membunuh diri dan membahayakan diri sendiri ke tahap kritikal.

Kata orang masa itu emas. Untuk remaja yang terlalu mengikut budaya barat ini, mereka banyak membazirkan masa melakukan perkara yang tidak berfaedah. Masa yang sepatutnya digunakan untuk perkara positif seperti bersukan, beriadah dan sebagainya diganti dengan perkara tidak berfaedah yang tiada kesudahan. Mana tidaknya, mereka sendiri yang memilih jalan itu.

Selain itu, perbuatan buruk yang mereka lakukan itu secara tidak langsung boleh merosakkan imej dan reputasi diri. Mana tidaknya, jika ditangkap ketika menghisap dadah atau hidu gam, mereka bukan saja memalukan diri sendiri bahkan keluarga juga turut merasa tempias.

Malah, setiap perkara buruk yang dilakukan boleh mengganggu pelajaran. Ini kerana masa dihabiskan untuk bersuka ria dan jarang sekali dimanfaatkan untuk mengulang kaji.

Hakikatnya, perbuatan yang terlalu mengikut budaya barat itu akhirnya merosakkan akhlak remaja dan seolah-olah menghasut agar melakukan perkara yang lebih dahsyat dan teruk. Misalnya, mereka yang pada mulanya menghisap dadah akan terus ketagih dan akhirnya sukar untuk berhenti serta membahayakan nyawa sendiri dan keluarga tersayang.

Jalan penyelesaian

Penulis sendiri rasakan kita harus mengelakkan peribahasa ‘nasi sudah menjadi bubur’ terjadi pada diri. Memanglah sukar untuk berubah jika tiada kesedaran dalam diri. Namun, jika nilai murni mula diterap dalam diri nescaya akan berjaya juga. Untuk berubah, memang memakan masa tapi akan berjaya juga jika dilakukan secara berterusan. Apa yang penting adalah semangat untuk berubah walaupun banyak kekangan yang dihadapi daripada kawan serta keluarga.

Pertama, ingatlah bahawa setiap perkara buruk pasti ada kesan negatif. Jika ia dibiarkan berlarutan tanpa henti, pasti mengundang masalah yang lebih serius seperti kesihatan terganggu, masalah emosi dan sebagainya. Cuba ubah minda dan terapkan nilai yang murni dan positif dalam diri seterusnya melupakan kisah silam yang menghantui itu.

Ketika proses ingin berubah, selalu katakan pada diri bahawa kamu benci maksiat itu dan tidak ingin sesekali mengulanginya lagi.

Kedua, jangan ragu-ragu berjumpa dengan rakan, keluarga mahupun pakar kaunseling untuk meminta pendapat mereka mengenai keinginan untuk berubah. Mereka pasti akan memberikan sokongan tanpa henti dan mengharapkan yang terbaik untuk kamu.

Malu itu memang wujud dalam diri setiap anak muda yang ingin kembali ke pangkal jalan. Ketepikan perasaan itu dan beranikan diri untuk mendapatkan nasihat serta cara berkesan untuk berhenti daripada ketagihan dadah, rokok dan seumpama dengannya.

Ketiga, mereka yang tegar harus teruskan keinginan untuk berubah walaupun sukar. Usaha yang dilakukan secara berterusan adalah lebih wajar daripada patah semangat kerana tidak berjaya. Anak muda ini sebenarnya keliru dan tidak tahu jalan untuk berpatah balik.

Keempat, banyakkan membuat kajian di laman web tentang bagaimana untuk memberhentikan tabiat buruk yang sudah sebati dengan diri itu.

Jika terjumpa mana-mana laman web yang menarik, kamu harus ‘bookmark’ laman web itu dan membacanya dengan teliti kerana ia mengandungi pelbagai jalan penyelesaian.

Kelima, ingatlah bahawa setiap yang berlaku pasti ada kesan buruknya. Walaupun aktiviti-aktiviti itu dianggap seronok dan menarik, kesan jangka panjang tidaklah memberangsangkan dan hanya memburukkan lagi keadaan.

Merokok misalnya boleh membahayakan kesihatan orang tersayang di sekeliling kamu. Lebih buruk lagi apabila ketagihan merokok itu menjurus kepada bahana dadah.

Keenam, tanamkan rasa keinsafan dan selalu beringat pada ibu bapa. Ingat bahawa ibu bapa dan keluarga adalah segala-galanya pada kamu kerana dengan merekalah kamu berkongsi masalah, mendapatkan nasihat dan lain-lain nilai positif. Mereka pasti akan kecewa apabila melihat kamu sudah tersasar jauh daripada apa yang diharapkan oleh mereka. Sudah pasti keluarga inginkan kamu berjaya dan tidak hanyut dengan perkara yang hanya merugikan masa.

Minta maaf pada mereka dan jika kamu kerap kali lari dari rumah, cuba untuk kembali dan luahkan apa yang terbuku di hati. Walaupun mereka marah, kamu harus cekal dan tidak berpatah hati sebaliknya menganggap itu semua sebagai suatu pengajaran.

Tujuh, buang sikap ego kamu kerana kamu telah tekad untuk berubah. Elakkan daripada banyak berfikir negatif dan mengenangkan pelbagai kemungkinan dalam perjalanan untuk berubah. Misalnya, kamu pasti fikir bahawa setiap orang yang kamu kenali kebarangkalian akan mencemuh dan mencaci kamu. Biarkan saja apa orang hendak kata asalkan kamu tetap pada pendirian dan sedar yang kesemua tohmahan itu hanya bersifat sementara dan tidak kekal.

Lapan, dekatkan diri dengan tokoh agama dan belajar ilmu daripada mereka. Pokok pangkalnya, krisis identiti ini juga berlaku kerana didikan agama yang kurang diterapkan dalam diri kamu sejak kecil. Tunjukkan bahawa kamu ingin berubah dan ia bukan hanya tertumpu pada kelakuan tapi juga amalan.

Langkah ke sembilan, terapkan dalam minda bahawa kamu ingin menjadi seorang yang baik daripada segi akhlak dan moral. Ingat yang diri akan menjadi modal insan untuk generasi akan datang. Jika tidak berubah maka apa faedah dan kebaikan yang dapat ditunjukkan pada masyarakat? oleh itu, berusahalah walaupun sukar kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian.

Akhir sekali, berdoalah kepada Allah dan berharap perubahan anda akan membuahkan hasil dan tidak berhenti setengah jalan. Insya-Allah kamu pasti boleh melakukannya!

Apa kata mereka?

Naim Rosli, pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 21 tahun berpendapat, remaja masa kini mudah terpengaruh oleh media massa, kawan, Internet dan lain-lain.

“Faktor utama ialah kurang didikan moral dan agama di samping keinginan mencuba perkara baru dan menganggap ia sebagai suatu kelainan. Untuk kesan jangka panjang, remaja akan lalai dengan pengaruh budaya barat dan terdedah dengan unsur yang kurang baik serta kurang sihat. Masalah ini kian berleluasa kerana terlalu banyak pengaruh baru yang lebih liar selain kurang mendapat perhatian umum.

“Keluarga sepatutnya memainkan peranan penting untuk membendung remaja daripada gejala sosial ini. Dalam peribahasa pun ada menyebut biar lentur buluh daripada rebungnya. Rakan juga turut memainkan peranan untuk saling nasihat menasihati antara satu sama lain.

“Daripada sudut agama, Islam mengajar umatnya agar berhibur atas batasnya. Tidak boleh terlalu lalai dan cepat terpengaruh daripada segi sosial mahupun gejala yang tidak sihat,” katanya.

Menurutnya, remaja yang ingin berubah perlu mendapatkan bantuan daripada pakar dan tidak hanya bergantung pada diri sendiri serta keluarga.

Ikhwan Hanafi, penjawat awam yang berusia 21 tahun pula merasakan remaja mengalami kekeliruan identiti atas faktor berkawan yang disalahertikan.

“Anak muda yang dulunya bersifat pemalu, baik akhlak bertukar perangai apabila salah memilih kawan. Mereka kemudiannya tidak memikirkan kesan jangka panjang yang memudaratkan diri mereka sendiri. Berkawan seharusnya bertujuan untuk melakukan perkara yang baik dan bukan sebaliknya.

“Memang betul, ramai remaja terpengaruh dengan rakan kerana merekalah insan yang paling rapat dan kerap mengajak mencuba sesuatu yang dianggap kelainan. Namun sesudah mencuba, mereka sukar untuk pulang ke jalan yang benar kerana gejala itu sudah sebati dengan hati.

“Jika dilihat daripada sudut agama, anak muda ini mudah lalai dan tidak melakukan apa yang diajarkan oleh guru agama. Kebanyakan daripada mereka leka dan seterusnya tidak memikirkan mana yang baik dan yang buruk,” katanya.

Menurutnya, remaja menghadapi kesukaran untuk berubah ke arah positif, namun usaha berterusan diikuti dengan doa pasti akan membuahkan hasil juga suatu hari nanti.

SUMBER : hmetro