Author: Clinton Banks

  • IMPAK NEGATIF PADA DIRI

    IMPAK NEGATIF PADA DIRI

    Memang benar remaja cepat terpengaruh kerana tidak berfikir panjang. HAZRIL MDNOR meneliti setiap perlakuan buruk remaja yang membawa banyak kesan negatif dan jika dibiarkan secara berterusan akan memudaratkan.

    Related Post: PENGAKUAN SEORANG ISTERI YANG CURANG

    Dewasa ini, ramai anak muda yang mengalami krisis identiti. Mereka yang mempunyai sindrom ini biasanya tidak boleh berfikir secara matang atau membuat keputusan secara rasional. Mereka lebih suka berkhayal dan membuang masa dengan melakukan perkara tidak berfaedah.

    Mengimbas kembali pada zaman 90-an, remaja tidak banyak terdedah kepada budaya luar disebabkan alat komunikasi pada masa itu tidak secanggih seperti sekarang. Mereka kekal dengan identiti sebagai masyarakat Malaysia yang berbudi pekerti dan bersopan santun ketika bertutur.

    Related Post: CHONG WEI HANYA AMBIL MASA 24 MINIT SAHAJA

    Lain pula jika dilihat pada zaman moden ini, ramai anak muda mudah terpengaruh dengan sesuatu yang dianggap menarik di mata. Mereka sebenarnya tidak kisah menonjolkan minat dalam sesuatu yang negatif asalkan ia tampak menarik dan seronok. Seperti kita lihat, remaja suka melakukan aktiviti yang jelas sekali bertentangan dengan norma masyarakat.

    Hasil daripada globalisasi dan dunia tanpa sempadan, anak muda tidak ragu-ragu membuat pilihan dan inilah yang menimbulkan krisis identiti. Mereka gemar melakukan sesuatu dianggap kelainan. Misalnya, remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan tidak membuat keputusan yang tepat dalam sesuatu pilihan. Banyak pilihan dibuat atas dasar nafsu dan kemahuan semata-mata.

    Apa yang kita dapat lihat ialah remaja masa kini sudah hilang budaya tempatan dan tidak lagi mengekalkan nilai murni. Kesopanan dan kesantunan Islam yang sudah lama dipupuk dalam diri mula beransur hilang. Ini kerana mereka sangat mudah terdedah untuk dipengaruhi dan jiwa muda yang gemar mencuba perkara baru. Selain itu, mereka juga mudah terpedaya dengan apa yang diceritakan di laman sosial.

    Hakikatnya, rakan dan keluargalah yang dipersalahkan kerana tidak mengambil berat serta mengambil tahu. Ia sebenarnya bukan berpunca daripada mereka saja tapi remaja juga bersalah kerana tidak mempunyai kesedaran untuk berubah. Jika dilihat, ramai yang merokok, merempit, menghisap dadah, biadap dengan orang tua, memakai pakaian yang menyerupai jantina berlainan dan sebagainya. Ia dianggap sebagai sesuatu yang normal dan tidak ada unsur negatif di mata mereka walhal perkara itu dianggap tidak elok di mata ramai orang.

    Impak negatif pada diri

    Apabila anak muda tidak lagi malu melakukan perkara yang tidak disenangi masyarakat, pasti ia terbukti memberikan masalah kepada diri sendiri. Lihat saja pada masalah yang berlaku antara remaja dengan keluarga dan rakan-rakan. Hubungan bukan saja renggang tapi juga wujud situasi di mana mereka tidak bertegur sapa buat jangka waktu yang agak lama. Ini semua berpunca kerana remaja tidak mengikut nasihat ibu bapa dan banyak terpengaruh dengan rakan sebaya.

    Bukan itu saja, mereka juga akan selalu dipandang serong oleh masyarakat disebabkan tingkah laku mereka yang seakan-akan meniru budaya barat. Ada sesetengah boleh diterima dan ada juga yang sangat dikecam masyarakat kerana bertentangan dengan agama.

    Justeru, ramai anak muda mengalami masalah kemurungan kerana banyak masalah yang dihadapi daripada krisis identiti itu. Mana tidaknya, mereka yang tegar pasti mempunyai masalah kesihatan yang memudaratkan serta mendapat kecaman daripada keluarga dan masyarakat. Kemurungan itu sendiri kalau dibiarkan secara berterusan akan membawa kepada masalah lebih serius seperti membunuh diri dan membahayakan diri sendiri ke tahap kritikal.

    Kata orang masa itu emas. Untuk remaja yang terlalu mengikut budaya barat ini, mereka banyak membazirkan masa melakukan perkara yang tidak berfaedah. Masa yang sepatutnya digunakan untuk perkara positif seperti bersukan, beriadah dan sebagainya diganti dengan perkara tidak berfaedah yang tiada kesudahan. Mana tidaknya, mereka sendiri yang memilih jalan itu.

    Selain itu, perbuatan buruk yang mereka lakukan itu secara tidak langsung boleh merosakkan imej dan reputasi diri. Mana tidaknya, jika ditangkap ketika menghisap dadah atau hidu gam, mereka bukan saja memalukan diri sendiri bahkan keluarga juga turut merasa tempias.

    Malah, setiap perkara buruk yang dilakukan boleh mengganggu pelajaran. Ini kerana masa dihabiskan untuk bersuka ria dan jarang sekali dimanfaatkan untuk mengulang kaji.

    Hakikatnya, perbuatan yang terlalu mengikut budaya barat itu akhirnya merosakkan akhlak remaja dan seolah-olah menghasut agar melakukan perkara yang lebih dahsyat dan teruk. Misalnya, mereka yang pada mulanya menghisap dadah akan terus ketagih dan akhirnya sukar untuk berhenti serta membahayakan nyawa sendiri dan keluarga tersayang.

    Jalan penyelesaian

    Penulis sendiri rasakan kita harus mengelakkan peribahasa ‘nasi sudah menjadi bubur’ terjadi pada diri. Memanglah sukar untuk berubah jika tiada kesedaran dalam diri. Namun, jika nilai murni mula diterap dalam diri nescaya akan berjaya juga. Untuk berubah, memang memakan masa tapi akan berjaya juga jika dilakukan secara berterusan. Apa yang penting adalah semangat untuk berubah walaupun banyak kekangan yang dihadapi daripada kawan serta keluarga.

    Pertama, ingatlah bahawa setiap perkara buruk pasti ada kesan negatif. Jika ia dibiarkan berlarutan tanpa henti, pasti mengundang masalah yang lebih serius seperti kesihatan terganggu, masalah emosi dan sebagainya. Cuba ubah minda dan terapkan nilai yang murni dan positif dalam diri seterusnya melupakan kisah silam yang menghantui itu.

    Ketika proses ingin berubah, selalu katakan pada diri bahawa kamu benci maksiat itu dan tidak ingin sesekali mengulanginya lagi.

    Kedua, jangan ragu-ragu berjumpa dengan rakan, keluarga mahupun pakar kaunseling untuk meminta pendapat mereka mengenai keinginan untuk berubah. Mereka pasti akan memberikan sokongan tanpa henti dan mengharapkan yang terbaik untuk kamu.

    Malu itu memang wujud dalam diri setiap anak muda yang ingin kembali ke pangkal jalan. Ketepikan perasaan itu dan beranikan diri untuk mendapatkan nasihat serta cara berkesan untuk berhenti daripada ketagihan dadah, rokok dan seumpama dengannya.

    Ketiga, mereka yang tegar harus teruskan keinginan untuk berubah walaupun sukar. Usaha yang dilakukan secara berterusan adalah lebih wajar daripada patah semangat kerana tidak berjaya. Anak muda ini sebenarnya keliru dan tidak tahu jalan untuk berpatah balik.

    Keempat, banyakkan membuat kajian di laman web tentang bagaimana untuk memberhentikan tabiat buruk yang sudah sebati dengan diri itu.

    Jika terjumpa mana-mana laman web yang menarik, kamu harus ‘bookmark’ laman web itu dan membacanya dengan teliti kerana ia mengandungi pelbagai jalan penyelesaian.

    Kelima, ingatlah bahawa setiap yang berlaku pasti ada kesan buruknya. Walaupun aktiviti-aktiviti itu dianggap seronok dan menarik, kesan jangka panjang tidaklah memberangsangkan dan hanya memburukkan lagi keadaan.

    Merokok misalnya boleh membahayakan kesihatan orang tersayang di sekeliling kamu. Lebih buruk lagi apabila ketagihan merokok itu menjurus kepada bahana dadah.

    Keenam, tanamkan rasa keinsafan dan selalu beringat pada ibu bapa. Ingat bahawa ibu bapa dan keluarga adalah segala-galanya pada kamu kerana dengan merekalah kamu berkongsi masalah, mendapatkan nasihat dan lain-lain nilai positif. Mereka pasti akan kecewa apabila melihat kamu sudah tersasar jauh daripada apa yang diharapkan oleh mereka. Sudah pasti keluarga inginkan kamu berjaya dan tidak hanyut dengan perkara yang hanya merugikan masa.

    Minta maaf pada mereka dan jika kamu kerap kali lari dari rumah, cuba untuk kembali dan luahkan apa yang terbuku di hati. Walaupun mereka marah, kamu harus cekal dan tidak berpatah hati sebaliknya menganggap itu semua sebagai suatu pengajaran.

    Tujuh, buang sikap ego kamu kerana kamu telah tekad untuk berubah. Elakkan daripada banyak berfikir negatif dan mengenangkan pelbagai kemungkinan dalam perjalanan untuk berubah. Misalnya, kamu pasti fikir bahawa setiap orang yang kamu kenali kebarangkalian akan mencemuh dan mencaci kamu. Biarkan saja apa orang hendak kata asalkan kamu tetap pada pendirian dan sedar yang kesemua tohmahan itu hanya bersifat sementara dan tidak kekal.

    Lapan, dekatkan diri dengan tokoh agama dan belajar ilmu daripada mereka. Pokok pangkalnya, krisis identiti ini juga berlaku kerana didikan agama yang kurang diterapkan dalam diri kamu sejak kecil. Tunjukkan bahawa kamu ingin berubah dan ia bukan hanya tertumpu pada kelakuan tapi juga amalan.

    Langkah ke sembilan, terapkan dalam minda bahawa kamu ingin menjadi seorang yang baik daripada segi akhlak dan moral. Ingat yang diri akan menjadi modal insan untuk generasi akan datang. Jika tidak berubah maka apa faedah dan kebaikan yang dapat ditunjukkan pada masyarakat? oleh itu, berusahalah walaupun sukar kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian.

    Akhir sekali, berdoalah kepada Allah dan berharap perubahan anda akan membuahkan hasil dan tidak berhenti setengah jalan. Insya-Allah kamu pasti boleh melakukannya!

    Apa kata mereka?

    Naim Rosli, pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 21 tahun berpendapat, remaja masa kini mudah terpengaruh oleh media massa, kawan, Internet dan lain-lain.

    “Faktor utama ialah kurang didikan moral dan agama di samping keinginan mencuba perkara baru dan menganggap ia sebagai suatu kelainan. Untuk kesan jangka panjang, remaja akan lalai dengan pengaruh budaya barat dan terdedah dengan unsur yang kurang baik serta kurang sihat. Masalah ini kian berleluasa kerana terlalu banyak pengaruh baru yang lebih liar selain kurang mendapat perhatian umum.

    “Keluarga sepatutnya memainkan peranan penting untuk membendung remaja daripada gejala sosial ini. Dalam peribahasa pun ada menyebut biar lentur buluh daripada rebungnya. Rakan juga turut memainkan peranan untuk saling nasihat menasihati antara satu sama lain.

    “Daripada sudut agama, Islam mengajar umatnya agar berhibur atas batasnya. Tidak boleh terlalu lalai dan cepat terpengaruh daripada segi sosial mahupun gejala yang tidak sihat,” katanya.

    Menurutnya, remaja yang ingin berubah perlu mendapatkan bantuan daripada pakar dan tidak hanya bergantung pada diri sendiri serta keluarga.

    Ikhwan Hanafi, penjawat awam yang berusia 21 tahun pula merasakan remaja mengalami kekeliruan identiti atas faktor berkawan yang disalahertikan.

    “Anak muda yang dulunya bersifat pemalu, baik akhlak bertukar perangai apabila salah memilih kawan. Mereka kemudiannya tidak memikirkan kesan jangka panjang yang memudaratkan diri mereka sendiri. Berkawan seharusnya bertujuan untuk melakukan perkara yang baik dan bukan sebaliknya.

    “Memang betul, ramai remaja terpengaruh dengan rakan kerana merekalah insan yang paling rapat dan kerap mengajak mencuba sesuatu yang dianggap kelainan. Namun sesudah mencuba, mereka sukar untuk pulang ke jalan yang benar kerana gejala itu sudah sebati dengan hati.

    “Jika dilihat daripada sudut agama, anak muda ini mudah lalai dan tidak melakukan apa yang diajarkan oleh guru agama. Kebanyakan daripada mereka leka dan seterusnya tidak memikirkan mana yang baik dan yang buruk,” katanya.

    Menurutnya, remaja menghadapi kesukaran untuk berubah ke arah positif, namun usaha berterusan diikuti dengan doa pasti akan membuahkan hasil juga suatu hari nanti.

    SUMBER : hmetro

  • ISTERI MENGGILA MAIN ONLINE GAME

    ISTERI MENGGILA MAIN ONLINE GAME

    “DISEBABKAN rasa sayang, saya masih lagi bersabar dengan kerenah isteri yang suka main online game,” kata seorang suami mengenai sikap isterinya.

    Related Post: PENGAKUAN SEORANG ISTERI YANG CURANG

    Kakitangan swasta, Amin Budi (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia menyedari sikap buruk isterinya selepas bulan madu pertama mereka apabila Dina, 27, tidak pernah berenggang dengan iPad yang merupakan salah satu barang hantaran perkahwinan yang dihadiahkannya dua tahun lalu.

    Pada awalnya Amin berkata, isterinya yang juga seorang suri rumah sepenuh masa tidak menunjukkan ketagihan kerana tetap melayannya dengan baik, namun apabila menjelang setengah tahun perkahwinan, sikap isterinya itu kian menjadi-jadi.

    Related Post: CHONG WEI HANYA AMBIL MASA 24 MINIT SAHAJA

    “Isteri saya kadang kala tak beri respons ketika saya bercakap jika ketika itu dia sedang menghadap iPadnya, dan sanggup tidur lewat malam menyebabkan dia kadang-kadang tak melakukan kerja rumah, tetapi menghabiskan masa dengan tidur sahaja di siang hari sebab tak cukup tidur pada waktu malam.

    “Apabila saya pulang ke rumah dalam keadaan bersepah, ini menyebabkan stress semakin bertambah. Tak cukup di tempat kerja, di rumah pula keadaan tunggang-langgang,” katanya.

    Jelasnya, isterinya suka bermain game ‘Candy Rrush’ dan game lain melalui Facebook seperti ‘Restoran City’ dan sebagainya.

    Apabila ditegur, isterinya memberitahu ia sekadar untuk mengisi masa terluang sedangkan ketika itu dia berada di rumah.

    Lebih malang katanya, isterinya pernah keguguran Januari tahun lalu dan dia menganggap perkara itu berlaku disebabkan sikap isterinya yang suka bermain permainan online sehingga tidak menjaga pemakanan dan waktu tidur yang baik.

    ‘Uninstall’ semua permainan

    Mengulas lanjut, Amin bagaimanapun tidak menyalahkan isterinya 100 peratus. Dia menganggap isterinya hanya mahu melepaskan tekanan akibat kesunyian di rumah kerana sentiasa ditinggalkan keseorangan.

    Amin juga mengakui kadang kala terpaksa meninggalkan isterinya untuk beberapa hari kerana terpaksa keluar daerah atas urusan kerja. Tidak menolak keadaan itu juga turut menjadi penyebab hubungan mereka renggang, Amin kemudian tekad berbincang secara serius dengan isterinya.

    Amin bagaimanapun bersyukur kerana keadaan itu membuka ruang yang lebih baik dalam perkahwinan mereka apabila keterbukaan kedua-duanya dalam menyuarakan isi hati masing-masing telah menyebabkan mereka cuba memperbaiki kelemahan yang ada.

    “Sekarang ini, isteri saya juga sudah berubah selepas keguguran tahun lalu dan dia juga telah ‘uninstall’ semua permainan yang menjadi ketagihannya sebelum ini,” katanya.

    Suami perlu bijak selesai masalah

    Dalam masa sama, Amin menasihati mana-mana suami yang menghadapi masalah sama agar bersabar dan berbincang dengan isteri.

    “Janganlah kerana online game, berlaku keretakan rumah tangga. Kalau kita ikhlas, ALLAH sudah tentu buka pintu hati isteri untuk terima nasihat kita. Masing-masing ada kelemahan, mungkin ia juga berpunca dari sikap kita, tetapi itulah cabaran perkahwinan,” katanya.

    Sementara itu, Munir Ahmad, 32, memberitahu ketagihan terhadap permainan online menyebabkan hubungan sepupu dan suaminya menjadi renggang.

    Kata Munir, sepupunya, Suriati, pernah memberitahu walaupun ketika Ramadan, suaminya lebih suka bermain game berbanding solat Tarawih dan kadang-kadang tidur pada jam 4 pagi kerana asyik bermain game.

    Begitu juga dari urusan penjagaan anak-anak, jika salah satu dari dua anaknya jatuh sakit, Suriatilah yang menguruskan segalanya kerana suaminya lebih suka menghabiskan masa dengan permainan online.

    “Walaupun ia tidaklah menyebabkan hubungan mereka sampai hendak bercerai tetapi melalui ceritanya, suaminya mengabaikan urusan penjagaan anak-anak sehinggakan semua dia yang perlu selesaikan walaupun dari segi nafkah, suaminya tak pernah ‘miss’.

    “Apa yang membimbangkannya, anak sulung Suriati juga mengikut perangai ayahnya. Bangun sahaja tidur, dia akan menuju ke komputer untuk bermain game ‘Angry Bird’,” katanya.

  • PENJELASAN MENGAPA PAK SAID BUAT LAPORAN POLIS ADMIN

    PENJELASAN MENGAPA PAK SAID BUAT LAPORAN POLIS ADMIN

    Susulan daripada kes Encik Said yang telah membuat laporan polis tenatng bacaan tahrim dan azan yang kuat sehingga mengganggu. Ini penjelasan dari salah seorang jemaah ….

    Assalamualaikum

    Mungkin sebahagian dari saudara2ku telah mengetahui isu report polis yang dibuat oleh En Md Said ( yg tersebar di FB dan Wassup ) tentang Tarhim dan Azan yang terlalu kuat oleh Masjid Perjiranan 9. Taman Air Biru. Pasir Gudang sehari dua inikan?

    Saya rasa terpanggil untuk menerangkan isu sebenarnya apa sebab perkara ini terjadi :

    Beliau adalah seorang jemaah yang amat istiqamah solat berjemaah di Masjid itu. Sebelum ini beliau dan sebahagian dari jemaah masjid telah memaklumkan dengan AJK Masjid tentang bacaan Tarhim sebelum solat dan siri2 ceramah fardu ain yang pancarkan keluar masjid melalui 15 biji corong speker terlalu kuat sehingga terganggu anak-anak kecil yang hendak tidur, orang-orang tua yang sakit hendak berehat, anak-anak sekolah yang hendak ulangkaji pelajaran dan kaum-kaum ibu yang hendak solat.

    Beliau bukan anti azan sebab sekuat manapun bacaan azan hanyalah sekitar 5minit sahaja, tetapi jika Tarhim dan siri2 ceramah sudah tentulah mengambil masa yang agak panjang terutamanya ceramah Haji yang adakalanya mencecah pukul 11malam.

    Cuba kita bayangkan dengan jarak rumah kariah ada yang 10meter sahaja dari corong speker akan melalui perkara ini hari-hari……nak mengadu takut dikatakan Anti majlis ilmu….Anti Masjid….maka terpaksalah tanggung selamanya perkara ini biarpun Solat kaum ibu terganggu, anak2 kecil tak lena tidur, orang2 tua yang nak berehat, anak2 sekolah yang nak study dan lain2 lagi.

    Perkara ini telah ditegur oleh Pengarah Jakim Dr Ismail Ibrahim dari tahun 2002 lagi tetapi masih ada lagi Masjid yang tak ambil kisah. Jika dulu kita dikampung-kampung jarak rumah yang agak jauh, pak bilal baca Tarhim kita seronok sebab didengari sayup-sayup aje, tapi tidak sama dengan suasana diTaman2.

    Rasullah pun pernah menegur sahabatnya yang membaca Al Quran didalam masjid dengan suara yang kuat, apatah lagi jika siap guna 15 biji speker ? sudah pasti menganggu jemaah yang lain. Fikir-fikirkanlah

    Jom Mengajiiii tak ngaji ceroiiiilah.

    Mohon ampun dan maaf jika pencerahan yang
    saya berikan ini ada menyentuh mana-mana pihak.

    Wassalam. – Jemaah Masjid Perjiranan Pasir Gudang.

  • WAJIB BACA!! 10 SOALAN SEBELUM BERHASRAT UNTUK BERTUNANG

    WAJIB BACA!! 10 SOALAN SEBELUM BERHASRAT UNTUK BERTUNANG

    Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin’.

    Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.

    Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.

    Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga.

    Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chatting dan sebagainya.

    Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.

    Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya.

    Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

    Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan.

    Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil.

    Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.

    10 soalan itu adalah:

    1. Apakah wawasan hidupnya?

    Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda.

    Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

    2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?

    Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting.

    Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

    3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?

    Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa.

    Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

    4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?

    Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata.

    Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

    5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?

    Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan.

    Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil.

    Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

    6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?

    Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi.

    Orang macam mana yang anda cari?

    7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?

    Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih.

    Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

    8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?

    Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

    9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?

    Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri.

    Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil.

    Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

    10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?

    Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri.

    Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.

    Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya.

    Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

    Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar.

    Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.

    Sumber: iLuvIslam

  • RISIKO KERJA LEBIH MASA

    RISIKO KERJA LEBIH MASA

    SEKIRANYA pada masa ini anda sering bekerja selama lebih lapan jam sehari, apa kata anda cuba ubah rutin tersebut kepada masa yang lebih pendek kerana kerja lebih masa dikaitkan dengan risiko mendapat sakit jantung.

    Menurut pengkaji, sesiapa yang bekerja dalam tempoh masa yang lama mempunyai risiko sebanyak 80 peratus untuk mendapat masalah kardiovaskular itu.

    Kajian yang disiarkan dalam American Journal of Epidemiology itu menjelaskan bahawa pekerja yang kerap mengabdikan diri di pejabat mudah diserang tekanan perasaan, darah tinggi dan amalan diet tidak tersusun.

    Perbuatan itu dikhuatiri boleh mengakibatkan sakit jantung dan strok.

    Kajian terkini oleh Institut Finlandia, Amerika Syarikat itu digabungkan dengan hasil terdahulu di mana mereka yang bekerja lebih daripada 11 jam sehari memiliki risiko sakit jantung sebanyak 67 peratus.

    Jelas pengkaji, keadaan itu berlaku akibat tekanan di tempat kerja yang menambahkan kandungan hormon kortisol. Selain itu, tempoh tersebut turut mengganggu jadual diet dan mengehadkan aktiviti fizikal.

    Pekerja yang obses bekerja lebih masa sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta wajar berhati-hati kerana mereka dikenal pasti sebagai golongan paling mudah terdedah kepada penyakit jantung yang membawa maut.

    Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana di Kota Damansara, Selangor, Dr. Haizal Haron Kamar berkata, mereka yang bekerja lebih masa berdepan tekanan dan berakhir dengan stres yang mengganggu sistem peredaran darah ke jantung.

    Beliau berkata, keadaan akan menjadi lebih buruk apabila stres menyebabkan seseorang tidak mengambil peduli jenis makanan yang diambil.

  • Kolej Vokasional di Pantai Timur

    Kolej Vokasional di Pantai Timur

    KUALA TERENGGANU : 6 buah kolej vokasional yang baru termasuk 3 di Pantai Timur yang masih dalam pembinaan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM328.4 juta, dijangka beroperasi tahun depan.

    Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, apabila siap, lebih ramai pelajar berpeluang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang yang ditawarkan, seiring dengan minat atau kecenderungan mereka.

    Pembinaan kolej

    “Pembinaan kolej di Pasir Puteh, Kelantan melibatkan kos RM56.9 juta manakala di Hulu Terengganu (RM56.7 juta) dan Pekan, Pahang (RM59.4 juta). Tiga lagi di Johor iaitu di Pagoh, Pasir Gudang dan Tanjung Piai melibatkan kos kese­luruhan RM155.4 juta,” katanya.

    Dalam majlis itu, Majlis Penge­tua Kolej Vokasional dan SMT me­nyerahkan bantuan RM10,000 ke­­­pada Kementerian Pendidikan untuk diagihkan kepada 333 warga kerja kolej yang terjejas semasa banjir melanda baru-baru ini.

    Beliau berkata demikian sele­pas mempengerusikan Mesyua­rat Pe­ngarah Kolej Vokasional dan Pengetua Sekolah Menengah Tek­nik (SMT) Zon Terengganu, Ke­lan­tan dan Pahang di Kolej Vokasional Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.

    Senarai kolej vokasional di seluruh nega­ra

    Ketika ini katanya, terdapat 80 kolej vokasional di seluruh nega­ra dan jumlah itu masih belum mencukupi kerana semakin ramai pelajar yang memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang vokasional serta teknikal.

    “Memandangkan kolej vokasio­nal sedia ada tidak mampu me­nam­pung permintaan, pembi­na­an enam kolej baharu itu ada­lah wajar dan dijangka siap secara berperingkat,”ujarnya.

    “Semakin ramai yang cen­de­rung untuk mengikuti bidang-bi­dang berkenaan dengan per­ubahan persepsi masyarakat yang sebelum ini menganggapnya sebagai pilihan kelas kedua. Bidang ini mempunyai potensi pasaran kerja yang sangat luas.

    Sementara itu, mengulas tentang kolej yang terjejas teruk aki­bat banjir, beliau berpuas hati de­­ngan kerjasama dan sokongan semua pihak dalam memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian seper­ti biasa.

    Menghasilkan Pendidikan Teknikal Dan Vokasional yang berkualiti melalui :

    Penyelarasan dasar pengoperasian, pembangunan prasarana fizikal dan penyediaan fasiliti
    Program pengurusan akademik yang terancang dan efektif untuk kemenjadian murid
    Pengurusan sumber manusia, kewangan, pentadbiran dan hal ehwal murid yang berkesan
    Pembangunan profesionalisme berterusan yang terancang untuk guru dan pegawai.

    Antara senarai kursus yang di tawarkan :-

    1     Teknologi Automotif
    2     Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara
    3     Pemesinan Industri
    4     Teknologi Kimpalan
    5     Teknologi Elektrik
    6     Teknologi Elektronik
    7     Teknologi Binaan
    8     Fesyen dan Membuat Pakaian
    9     Seni Kulinari
    10     Kosmetologi
    11     Hortikultur Hiasan
    12     Landskap
    13     Mekanisasi Agro
    14     Agroindustri Tanaman
    15     Agroindustri Ternakan Ruminan
    16     Agroindustri Ternakan Poltri

  • Pekerja Terpaksa Solat Secara Bersembunyi

    Pekerja Terpaksa Solat Secara Bersembunyi

    KULIM – Hampir setahun seorang pekerja di sebuah syarikat swasta di bandar ini yang hanya mahu dikenali Haiza, 28, terpaksa menunaikan solat secara bersembunyi di tempat kerjanya.

    Haiza yang juga terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu dan bapa setelah kematian kedua orang tuanya berkata, sejak dari mula dia memperoleh pekerjaan tersebut pihak syarikat telah memberi peringatan mengenai perkara itu.

    Menurutnya, akibat terdesak dan memerlukan wang untuk menanggung perbelanjaan adik-beradiknya dia terpaksa menerima pekerjaan tersebut dan akur akan syarat itu.

    “Pada awal saya ditemu duga lagi pihak syarikat telah memberitahu tidak boleh solat di tempat kerja, namun saya terpaksa terima pekerjaan itu kerana keadaan mendesak.

    “Saya terpaksa mencari sumber pendapatan untuk menampung keluarga dan lokasi yang dekat dengan tempat tinggal supaya mudah untuk memantau adik-beradik saya.

    “Saya memang terkejut dengan syarat tersebut namun seorang staf di bahagian sumber manusia syarikat tersebut sempat berpesan supaya melakukan solat secara sembunyi,” katanya kepada Sinar Harian.

    Tambahnya, setiap kali tiba waktu solat dia terpaksa memastikan keadaan selamat dan tidak diketahui majikannya.

    “Saya tetap melakukan solat, namun kena cari masa sesuai dan memastikan keadaan selamat kerana bimbang saya hilang pekerjaan,” katanya.

    Katanya, bukan tidak cuba mencari pekerjaan lain namun kesukaran untuk mendapatkannya dan pernah berpengalaman mengalami nasib yang sama membuatkannya pasrah.

    “Saya bukan tak mahu cari kerja lain, saya sudah berusaha namun belum ada peluang,” katanya.

    Haiza berkata, bukan untuk bersikap perkauman namun ia adalah hakikat sebenarnya masih ada diskriminasi terhadap bangsa lain di negara ini.

    “Saya berharap ada pihak memantau perkara ini. Saya juga bercadang untuk mengadu kepada pihak berwajib tidak lama lagi,” katanya. – Sinar Harian Online

  • Besar kemungkinan BN kalah PRU depan – Tun Mahathir

    Besar kemungkinan BN kalah PRU depan – Tun Mahathir

    Walaupun pelbagai penerangan oleh Dato Sri Najib Tun Razak tentang 1Malaysia Development Bhd(1MDB) telah difahami dan diterima oleh ahli Umno tetapi kemungkinan besar BN akan kalah pilihanraya umum (PRU) akan datang.

    “Besar kemungkinan BN akan kalah pada 2018, walaupun ketua-ketua Umno sokong dan terima dengan puas hati penerangan yang dibuat.

    “Ingatlah undi orang Umno  sahaja tidak cukup untuk menang pilihan raya,” kata Tun Dr Mahathir.

    Menurut Tun Mahathir, isu IMDB ini jika tidak dilakukan sebarang siasatan susulan tuduhan beberapa pihak yang terlibat dengan pengurusan 1MDB, sokongan rakyat pada BN akan terus merosot.

    “Jika ini tidak dibuat dan dibuat secepat mungkin, sokongan rakyat yang sudah pun merosot dalam PRU 2008, 2013 akan merosot lagi,” katanya dipetik Malaysiakini.

    Tun M turut menegaskan untuk menagkis segala dakwaan yang dilemparkan adalah tidak cukup kalau sekadar menafikan melainkan dilakukan siasatan.

    Katanya, rakyat masih tidak berpuas hati dengan perkara itu dan membincangkannya di mana-mana sahaja.

    “Jika mereka tidak puas hati dan tidak sokong BN dalam PRU akan datang, BN mungkin kalah.

    “Dan jika BN ditolak, sokongan kepada presiden oleh pemimpin bahagian Umno tidak lagi bermakna,” katanya. – Siakapkeli.com.my

  • KJ TUNJUK CARA PENGIRAAN YANG BETUL HARGA MINYAK!

    KJ TUNJUK CARA PENGIRAAN YANG BETUL HARGA MINYAK!

    Saya nak ambil sedikit masa untuk menjelaskan tentang harga petrol. Ramai yang tidak memahami cara bagaimana harga petrol dikira. Ini menimbulkan keadaan dimana ramai pakar ekonomi mee segara tiba-tiba muncul dengan teori tersendiri.

    Contoh pakar mi segera seperti gambar dibawah. Dengan penuh keyakinan beliau kata “ini fakta…” Saya juga yakin ramai yang mebaca post tersebut dan terus share secara membuta tuli tanpa sebarang usul periksa. “Mesti Mamat ni betul.” “Logik juga dia tulis.”

    Apa yang beliau tulis itu salah sebab harga minyak dunia itu yang diambil sebagai contoh adalah harga minyak mentah. Untuk pengetahuan semua, petrol yang kita guna untuk kenderaan kita bukan minyak mentah. Itu minyak yang sudah diproses, ditapis, diangkut, diedar, diniaga dll. Jadi fakta dibawah tidak betul. Kalau beliau konfiden dengan ‘fakta’ beliau, saya sarankan beliau mengisi kenderaannya dengan minyak mentah. Tengok jauh mana boleh jalan.

    Mungkin disini ada yang nak tulis, “OK lah KJ. Jangan sembang je bro. Tunjuk lah cara nak kira petrol ni.”

    Baik.

    Harga petrol di Malaysia dikira mengikut formula yang dikenali sebagai Automatic Pricing Mechanism atau APM.

    Harga rujukan bagi kiraan APM adalah Mean of Platts Singapore (MOPS). Ini merupakan harga minyak yang sudah diproses. (Makulumat lanjut tentang MOPS boleh di-Google).

    Harga MOPS dicampur pula dengan beberapa kos lain:

    – Kos operasi (9.58 sen/liter)
    – Margin syarikat minyak (5 sen/liter)
    – Margin dealer stesen minyak (12.19 sen/liter)
    – ‘Alpha’ yakni perbezaan MOPS dengan harga pembelian sebenar (5 sen/liter)

    Jadi dengan mudah:
    MOPS + 9.58 sen + 5 sen + 12.19 sen + 5 sen = harga pasaran sebenar petrol di Malaysia

    Satu lagi gambar dibawah menunjukkan penjelasan yang sama dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri atau KPDNKK.

    Di sini ada pula yang nak menyampuk, “Sudah lah bro. Harga minyak naik lettew. Bangang barang naik.”

    Kerajaan pun telah mengumumkan penarikan subsidi petrol pada 1 Disember. Ramai kutuk. “Kerajaan ale utoo” bagai.

    Yang kutuk ini tidak pantau harga pasaran minyak.

    Kita guna formula diatas.

    Purata harga MOPS untuk RON95 dari 1 hingga 19 November adalah 195.15 sen. Campur dengan kos lain diatas = 226.88 sen atau kurang lebih RM2.27. Maksudnya, bila kita apungkan harga petrol pada 1 Disember dan tren penurunan harga pasaran minyak berterusan, ada kemunkinan besar harga petrol RON95 turun. Subsidi dijimat, harga pun boleh turun.

    Kesimpulannya, semak semua ‘fakta’ dulu. Jangan cepat share. Think first.

  • Hukum Pegang Anjing – DrMAZA

    Hukum Pegang Anjing – DrMAZA

    ANJING DAN ISU MASYARAKAT MALAYSIA

    Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitive mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan muncul. Sememang inilah reality masyarakat ‘era baru’ kini yang mempunyai pelbagai dimensi dan perspective baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang hidup dalam era yang lepas.
    Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi oleh Islam. Ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.
    Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu berikut;

    Samakan Dengan Anjing

    Walaupun manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya kesemua masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta tuli.

    Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
    Jadi, jika masyarakat muslim sensitive apabila mereka ataupun amalan mereka dibandingkan dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat apa-apa provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin menimbul permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini.

    Islam Benci Anjing?

    Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?
    Dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah: (maksudnya) “dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).

    Anjing tersebut menjadi binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.
    Sementara dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
    Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.

    Bolehkah muslim memiliki anjing?

    Dalam al-Quran, Allah menyebut: (maksudnya) “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan ang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya” (Surah al-Maidah, ayat 4)
    Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi ( meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.
    Ertinya, muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab al-Kahfi yang disebutkan tadi.

    Bolehkah Muslim Menyentuh Anjing?

    Ada pula yang cuba menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doctor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek. Maka TIDAK HARAM menyentuh anjing.
    Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis : “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).

    Mazhab Malik bin Anas pula paling longgar dan luas berhubung dengan anjing.

    Memelihara Anjing Dalam Rumah?

    Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
    Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.

    Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.

    Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak research yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!
    Dalam hadis tadi, Nabi s.a.w: “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
    Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi scientific maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.

    Maka ini ringkasan yang sempat saya coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing.